comscore
Tumpuan :
Nasional

Pegawai penguat kuasa disyaki terlibat seludup sisik tenggiling akan didakwa

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penguat kuasa yang terlibat dalam sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa melalui pintu masuk negara akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, esok.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, suspek dipercayai salah seorang pegawai penguat kuasa yang pernah ditahan menerusi satu operasi khas, Op Jaguar yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), SPRM sekitar pertengahan tahun lalu.

Beliau berkata, suspek lelaki berusia 50-an itu disyaki menerima sogokan daripada sindiket tersebut untuk tidak menyerahkan sisik tenggiling kepada Jabatan Perhilitan.

“Suspek dipercayai tidak menyerahkan sisik tenggiling dengan berat dianggarkan 1.8 tan yang merupakan barang kes rampasan Jabatan Kastam Diraja Malaysia kepada Jabatan Perhilitan bagi tujuan pelupusan.

“Suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sekitar September hingga Disember 2019 dari Stor Penguatkuasaan Pengkalan Marin, Pelabuhan Klang Utara,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Media tempatan sebelum ini melaporkan, sisik tenggiling tersebut dipercayai diseludup masuk ke negara ini sebagai transit sebelum dihantar ke China dan negara-negara lain yang mendapat permintaan tinggi.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), Malaysia berperanan sebagai sebuah negara sumber dan transit dalam pemerdagangan dan penyeludupan hidupan liar terancam seperti harimau, tenggiling, gading gajah dan kura-kura.

Op Jaguar yang dilaksanakan pada pertengahan tahun lalu di lokasi di Klang, Selangor dan Kuala Lumpur menyaksikan SPRM merampas hampir dua tan sisik haiwan itu yang dianggarkan dijual sehingga mencecah RM13,000 satu kilogram di pasaran gelap dengan nilai keseluruhan dianggarkan bernilai RM23.4 juta.

Operasi yang dijalankan hasil maklumat daripada agensi penguat kuasa dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan Hong Kong itu turut menumpaskan sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa yang dipercayai turut menyogok penguat kuasa serta terbabit aktiviti pengubahan wang haram.

Hasil operasi itu juga, SPRM telah menyita pelbagai jenis kenderaan mewah serta membekukan beberapa akaun bank bernilai jutaan ringgit disyaki milik sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa.

Penyitaan dan pembekuan kesemua aset itu dibuat susulan penahanan 10 individu termasuk pemilik syarikat serta ejen sindiket yang membabitkan warganegara Malaysia, Bangladesh, Pakistan dan Nepal dalam operasi khas tersebut.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan suspek akan didakwa di bawah kesalahan Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini