comscore
Tumpuan :
Nasional

Pegawai perubatan mohon tukar penempatan, perlu terus berkhidmat, laksana tanggungjawab – Dr Zaliha

Foto hiasan

Oleh : Fatin Hanani Sahimi

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta pegawai perubatan di hospital seluruh negara yang membuat permohonan penempatan untuk terus berkhidmat sementara rayuan mereka diproses.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata sebaiknya mereka perlu memberi fokus terlebih dahulu kepada perkhidmatan ketika ini.

“Meskipun rayuan masih terbuka, namun kita mengambil langkah berhenti seketika untuk memastikan pegawai perubatan berkenaan menjalankan tanggungjawab mereka terlebih dahulu kerana perkhidmatan perlu diteruskan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Persidangan Pengawalseliaan Kebangsaan (NRC) 2023 yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan di ibu negara pagi tadi.

Foto : KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA / Facebook

Terdahulu media melaporkan KKM menerima sebanyak 1,843 rayuan daripada 4,155 pegawai perubatan yang ditawarkan ke jawatan tetap untuk bertukar.

Hasilnya, sebanyak 359 rayuan permohonan penempatan diluluskan bagi tempoh 27 Jun hingga 24 Julai lalu.

Rayuan berkenaan dilakukan atas pertimbangan oleh Jawatankuasa Rayuan yang bertindak meneliti alasan kukuh mereka termasuk kesihatan diri dan keluarga serta ancaman keselamatan.

Dr Zaliha turut menegaskan, tidak bermaksud rayuan pegawai perubatan lain yang belum diputuskan hanya dipandang sepi oleh KKM, sebaliknya ia akan dikaji dan diperhalusi sebaik mungkin oleh pihaknya.

“Insya-Allah kalau ada rayuan yang mungkin terdapat merit atau penempatan seperti yang diminta mempunyai kekosongan, kita akan cuba membantu dan mempercepatkan permintaan tersebut,” katanya.

Loading...
Terkini