comscore
Tumpuan :
Nasional

Pegawai polis parah, anak 6 tahun maut dalam nahas 

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis parah manakala anak perempuannya berusia enam tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR2) dari arah Sungai Besi menghala Cheras di sini, hari ini.

Ketika nahas jam 8.50 pagi itu, pegawai kanan polis berusia 42 tahun yang menunggang motosikal Honda bersama anaknya dikatakan terlanggar belakang sebuah Mitsubishi Xpander dipandu seorang wanita.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu MPV sedang bergerak lurus di lorong paling kiri.

“Sampai di tempat kejadian, MPV dilanggar daripada belakang oleh motosikal Honda.

“Akibat pelanggaran, penunggang motosikal bersama pembonceng telah terjatuh ke atas jalan di lorong sama dan mengalami kecederaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, aliran trafik ketika kejadian dalam keadaan bergerak perlahan.

“Penunggang motosikal seorang lelaki yang bertugas sebagai pegawai kanan polis berumur 42 tahun menunggang bersama pembonceng motosikal berumur enam tahun dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk rawatan.

“Pembonceng motosikal iaitu anaknya disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan manakala penunggang motosikal patah tangan kanan dan tangan kiri,” katanya.

Sarifudin berkata, pemandu kenderaan MPV iaitu seorang wanita berumur 45 tahun, tidak cedera.

Difahamkan, pegawai kanan polis terbabit berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Sarifudin meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian menghubungi Balai Polis Trafik, Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana Balai Polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini