comscore
Tumpuan :
Nasional

Pegawai rendah polis ponteng tugas, menyamar Inspektor ditahan

Foto hiasan

KOTA SAMARAHAN: Polis menahan pegawai rendah polis yang bukan sahaja ponteng tugas malah menyamar sebagai Inspektor.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Superintenden Jaimi Husin berkata, unit peronda yang membuat rondaan cegah jenayah terserempak dengan kereta dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah bangunan, di sini, semalam.

Semasa pemeriksaan dibuat, beliau berkata, suspek memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis dengan memakai vest polis berpangkat Inspektor dan sarung pistol di pinggang.

“Selepas disoal lanjut, lelaki terbabit mengatakan bekerja di Unit Cawangan Khas Bukit Aman dan sedang membuat tugas risikan di lokasi berkenaan.

“Apabila diminta kad kuasa polis untuk sahkan identitinya maka lelaki itu memberitahu tertinggal di rumah dan hanya memberi kad pengenalan awam. Setelah disemak kad pengenalan awam berkenaan tertera nombor polis RF,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut, lelaki terbabit mengaku bertugas sebagai pegawai rendah polis sedang bercuti selama dua minggu.

Jaimi menambah, pihaknya kemudian menghubungi balai polis tempat lelaki terbabit bertugas dan dimaklumkan dia tidak hadir tugas dari Mac lalu sehingga sekarang.

Katanya, pegawai rendah polis itu bersama rakannya termasuk kereta, vest polis serta pangkat Inspektor dan sarung pistol dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan untuk tindakan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini