comscore
Tumpuan :
Nasional

Pejabat pasport LTA Kota Kinabalu beroperasi mulai Jun

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyerahkan pasport kepada Soh Lip Hui ketika Majlis Perasmian Pembukaan Pejabat Pasport Shaftbury, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Putrajaya. FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan membuka cawangan pejabat pasport yang baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pejabat itu kini dalam proses pengubahsuaian sebelum bakal beroperasi pada Jun ini.

“Ini satu lagi tekad kita untuk mempermudah urusan dengan masyarakat yang berurusan dengan JIM dengan cara memperbanyakkan pejabat operasi tanpa menambah perjawatan tapi kita tingkatkan kualiti perkhidmatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Pejabat Pasport Shaftbury Putrajaya, di sini hari ini.

Pejabat pasport itu adalah cawangan ke-5 yang menyediakan perkhidmatan pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) secara dalam talian (MyOnline Pasport) sepenuhnya selepas di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Kajang dan Kelana Jaya di Selangor serta Shaftbury Putrajaya.

Mengulas mengenai Pejabat Pasport Shaftbury Putrajaya, menurut Saifuddin, ia telah beroperasi sejak 17 Januari lalu dari jam 8 pagi hingga 5 petang pada hari Isnin hingga Jumaat.

Sebanyak 1,075 permohonan pasport diterima dengan 938 pasport telah diserahkan sejak mula beroperasi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sebanyak 3,057,825 pasport dikeluarkan tahun lalu berbanding 2,574,435 pada tahun sebelumnya yang menyaksikan peningkatan hampir 20 peratus.

“Kita nak ajak rakyat Malaysia supaya melebihkan berurusan dengan JIM melalui dalam talian termasuk permohonan pasport. Daripada rekod kita, daripada jumlah tiga juta (pasport tahun lalu), satu juta pasport berjaya diperolehi melalui permohonan dalam talian. Bagi setiap tiga permohonan, satu permohonan dalam talian.

“Sasaran kita adalah untuk tingkatkan permohonan dalam talian. Dengan cara itu, kita akan kurangkan kesesakan di pejabat pengeluaran pasport dan menjimatkan perbelanjaan perjalanan mereka sebab mereka cuma buat permohonan dalam talian dan kutipan di pejabat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN
Loading...
Terkini