Tumpuan :
Nasional

Pejalan kaki maut dalam kejadian langgar lari

Lokasi kejadian lelaki maut dilanggar lari pagi tadi.- Foto: PDRM

KUCHING: Seorang pejalan kaki maut dalam kejadian langgar lari di Jalan Setia Raja, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, dalam kejadian 4.30 pagi itu, mangsa dipercayai dirempuh kenderaan yang tidak dipastikan jenis dan nombor pendaftarannya.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS) yang tiba di tempat kejadian pada 4.45 pagi.

“Mangsa yang tidak membawa dokumen pengenalan diri adalah seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an.

“Mayatnya dihantar ke HUS untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Charlie Aloysius di talian 014-8682068 atau 082-259900 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

“Sesiapa yang kehilangan ahli keluarga juga diminta menghubungi Inspektor Charlie atau mana-mana balai polis,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 
Loading...
Terkini