comscore
Tumpuan :
Nasional

Pejuang mahu kerjasama dengan PH hadapi PRN

ALOR SETAR: Presiden Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berminat membentuk kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar, mengesahkan ada bertemu bekas menteri besar Kedah itu di ibu negara kira-kira dua bulan lalu, untuk membincangkan ruang kerjasama.

“Ya, saya pernah jumpa dengan Mukhriz di Kuala Lumpur kira-kira dua bulan lalu. Beliau menyatakan hasrat mengenai potensi kerjasama antara PEJUANG dan PH Kedah.

“Saya beritahu beliau perkara ini hanya boleh diputuskan oleh Majlis Presiden PH, jadi saya nasihatkan beliau bincang melalui saluran yang betul dan berjumpa dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kelmarin, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengesahkan berlaku pertemuan antara Mukhriz bersama kepemimpinan tertinggi PAS baru-baru ini.

Inti pati perbincangan itu bagaimanapun belum didedahkan kerana hanya membabitkan lima pimpinan tertinggi PAS bersama Mukhriz.

Mahfuz yang juga Naib Presiden AMANAH berkata, Mukhriz dan Setiausaha Agung PEJUANG, Datuk Amirudin Hamzah, turut dipelawa menyertai AMANAH.

“Saya ada cadangkan Mukhriz menyertai AMANAH supaya mudah memberi peluang kedua-dua pemimpin itu bertanding pada PRN akan datang.

“Bagaimanapun, mereka belum memutuskan tawaran itu,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata PEJUANG perlu membentuk pakatan dengan gabungan politik untuk memastikan kelangsungan parti.

“PEJUANG perlu serius mempertimbangkan bagi membentuk pakatan politik dengan mana-mana gabungan untuk mendapatkan sokongan yang mereka perlukan.

“Jika gagal, mereka akan bergelut untuk mendapatkan pengaruh politik kerana PEJUANG dan parti lain dalam Gabungan Tanah Air (GTA) berkongsi ideologi dengan parti besar lain seperti UMNO, PAS dan BERSATU.

“Sebagai parti baharu, ia menyukarkan mereka menonjolkan diri,” katanya ketika dihubungi.

Azizuddin berkata masa depan Mukhriz dalam politik semakin pudar dan beliau perlu membuat keputusan terbaik untuk PEJUANG.

“Masa tidak menyebelahinya, pengaruh politiknya sudah berkurangan. Apa pun masa depan Mukhriz, beliau tetap disegani kerana sumbangannya sebagai menteri besar dan kekal sebagai tokoh masyarakat,” katanya.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, GTA yang bertanding menggunakan logo PEJUANG gagal memenangi sebarang kerusi meskipun meletakkan calon di 125 kerusi.

Loading...
Terkini