
GUAR CHEMPEDAK: Pekan Guar Chempedak dilanda banjir kilat hingga menyebabkan beberapa rumah kedai di rumah kediaman tenggelam pada paras satu meter.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli berkata, kejadian berlaku pada jam 7.05 petang hari ini berikutan
hujan lebat dan angin kencang dan hasil pemantauan pihaknya mendapati paras air di kawasan itu sedalam satu meter.
Beliau berkata, bagaimanapun tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka setakat ini namun operasi pemantauan sedang dilakukan anggotanya di kawasan yang terjejas.
“APM Yan masih melakukan pemantauan di kawasan sungai yang kini dalam keadaan terkawal.
“Sehubungan itu, penduduk yang tinggal di kawasan rendah boleh menghubungi pasukan penyelamat untuk berpindah sekiranya air terus naik di kawasan kediaman mereka,” katanya.
Muhammad Zul Izzi berkata, keadaan di kawasan itu ketika ini masih hujan dan anggotanya melakukan persediaan kemungkinan berlaku banjir.