comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

Pekan Kuala Klawang dihiasi mural

Yang Dipertua MDJ Abdul Rahim A. Aziz mengecat dinding sebagai gimik pelancaran projek mural di Kuala Klawang.- Foto: NSTP

JELEBU: Kuala Klawang, sebuah pekan di daerah ini terus dicantikkan dengan pelbagai lagi lukisan mural merangkumi pelbagai tema.

Yang Dipertua Majlid Daerah Jelebu (MDJ) Abd Rahim A. Aziz berkata menerusi program Local Agenda 21, MDJ masih diberi kepercayaan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk melaksanakan program mural dan lukisan jalanan (street art) di pekan ini.

Katanya, program mural di bangunan kedai Desa Mart merupakan program ketiga selepas projek sama dilaksanakan membabitkan bangunan di persimpangan lampu isyarat dan bangunan gym.

“Lukisan mural itu diterjemahkan menerusi tema berbeza dan bagi projek ketiga ia memaparkan tema moden dan kontemporari berkaitan daerah ini,” katanya pada perasmian Program Mural dan Street Art dan Perasmian Kios di Stadium Mini Kuala Klawang di sini hari ini.

Menurutnya, dua projek sebelum memaparkan keindahan alam semula jadi dan keunikan adat di Jelebu manakala lukisan kedua berkaitan adat dan tradisi.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Bakri Sawir.

Kontraktor sedang menyiapkan lukisan mural bagi projek mural di Kuala Klawang. – Foto: NSTP

Abdul Rahim berkata dengan adanya lukisan mural itu, ia akan menjadi nilai tambah kepada produk pelancongan sedia ada di sekitar Kuala Klawang.

Katanya, lukisan mural itu terletak berdekatan di antara satu sama lain sekaligus memudahkan orang ramai untuk melihatnya dan bergambar.

Yang Dipertua MDJ, Abdul Rahim A. Aziz (dua dari kiri) membuat cap tangan pada dinding bagi projek mural di Kuala Klawang.- Foto: NSTP

“Kita juga mengalu-alukan mana-mana persatuan, sekolah atau institut pengajian tinggi yang berminat untuk membuat mural dengan kerjasama MDJ,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Abdul Rahim yang juga Pegawai Daerah Jelebu berkata sebanyak 25 kios dengan reka bentuk cantik dan moden akan digunakan peniaga di pekan ini.

Katanya, ia membabitkan peruntukan berjumlah RM500,000 dari KPKT.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini