Tumpuan :
Nasional

Pekeliling RKB, Ujikaji Peraturan pandu transformasi perkhidmatan awam

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berucap pada Majlis Anugerah Pembangunan Negara (APN) Tahun 2024 di Sepang. – Foto fail NSTP

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Pekeliling Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dan Pekeliling Ujikaji Peraturan yang dilancarkan hari ini akan menjadi panduan kepada semua jabatan, kementerian, agensi dan badan berkanun kerajaan untuk memperbaharui cara kerja serta garis panduan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, Pekeliling Reformasi Kerenah Birokrasi akan panduan bagi mempercepatkan pelaksanaan reformasi kerenah birokrasi ke arah pentadbiran lebih cekap, meningkatkan produktiviti, dan mengurangkan beban peraturan tidak wajar terhadap rakyat serta perniagaan.

Manakala, Pekeliling Ujikaji Peraturan yang memberikan panduan kepada pengawal selia untuk menguji pendekatan baharu terhadap peraturan sedia ada untuk lebih inovatif, berkualiti tinggi dan relevan dengan keperluan semasa dalam menangani cabaran semasa yang kompleks.

“Kita akan terus mewacanakan reformasi menerusi konvensyen seterusnya yang lebih khusus dan berfokus kepada setiap lima teras reformasi ini iaitu nilai dan tatakelola, modal insan, pembangunan organisasi, penyampaian perkhidmatan dan sinergi awam swasta.

“Tahun 2025 ini saya mengharapkan komitmen yang sama malah lebih tinggi dalam kita menjayakan hasrat reformasi sebagaimana diaspirasikan oleh Perdana Menteri,” katanya semasa berucap pada majlis penutupan konvensyen itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Shamsul Azri berharap semua penjawat awam akan terus berusaha meningkatkan kecekapan dan produktiviti dengan memperkukuh nilai dan tatakelola, memperkasa bakat dalam organisasi, menyampaikan perkhidmatan yang lebih berkesan serta memanfaatkan kerjasama awam dan swasta untuk memacu Malaysia yang lebih maju, sejahtera, dan berdaya saing.

“Kehadiran dan komitmen semua mencerminkan tekad kita untuk mentransformasikan perkhidmatan awam agar lebih produktif, cekap, dinamik, inovatif, dan paling utama, berfokuskan rakyat.

“Hasrat saya dan seluruh kepimpinan adalah agar agenda reformasi ini tidak hanya gah di atas kertas atau di mulut kita sahaja tanpa sebarang tindakan, tetapi ia mesti terus diaplikasikan dalam penyampaian perkhidmatan kita,” tambahnya.

Konvensyen Nasional Perkhidmatan Awam Tahun 2024 yang berlangsung selama dua hari berakhir hari ini, dengan pengisiannya yang padat dengan forum bermatlamat menambah baik penyampaian perkhidmatan, meningkatkan kecekapan dan integriti perkhidmatan awam.

Shamsul Azri turut menyifatkan lapan sesi forum dan satu sesi plenari sepanjang konvensyen berlangsung, sebagai padat dengan wacana idea dan cadangan baharu untuk mempertingkatkan prestasi perkhidmatan kerajaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini