comscore
Tumpuan :
Nasional

Pekerja kilang maut dihempap forklift

Foto hiasan

SHAH ALAM: Seorang pekerja warga Pakistan maut dihempap forklift yang dipandunya dalam kejadian di sebuah kilang pemprosesan kertas di Pulau Indah, Klang awal pagi semalam.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor dalam kenyataan berkata siasatan pihaknya mendapati kejadian pada kira-kira 2 pagi itu berlaku ketika mangsa memandu forklift itu secara mengundur dengan laju dan fork dinaikkan pada aras tertinggi.

“Mangsa yang berumur 20 tahun itu telah membuat pusingan U secara mengejut menyebabkan forklift tersebut terbalik lalu menghempap badan mangsa. Mangsa maut di tempat kejadian,” ujarnya.

Susulan daripada kejadian tersebut, JKKP Selangor telah mengeluarkan Notis Pembaikan untuk membuat perancangan berkenaan dengan pengemasan secara berkala di kawasan tempat kerja kepada majikan.

“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca-punca kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab ke atas kemalangan tersebut. JKKP Selangor akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“JKKP Selangor juga memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam. Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan mengenal pasti terlebih dulu risiko atau bahaya di kawasan mereka,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini