MUAR: Lelaki warga Myanmar maut dibunuh manakala rakan sekerjanya parah dalam insiden pergaduhan bersenjatakan objek tajam di sebuah kilang perabot di Bakri, malam tadi.
Kejadian dipercayai berlaku antara jam 9 hingga 10 malam menyebabkan mangsa parah dan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), 4 pagi tadi akibat cedera parah di kepala.
Namun, identiti kedua-dua mangsa belum diperolehi setakat ini dan difahamkan, salah seorang yang parah adalah warga Bangladesh dan dia kini menerima rawatan di hospital sama.
Pekerja tempatan berusia 40 tahun yang enggan dikenali memberitahu, dia mendapat panggilan daripada seseorang memaklumkan ada pergaduhan di asrama terbabit.
Menurutnya, sebaik tiba dia mendapati dua lelaki terbaring dengan berlumuran akibat dipukul menggunakan senjata tajam.
“Suspek bukan pekerja di sini dan pada hari kejadian, dia datang ke asrama terbabit. Saya tidak tahu punca kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Jalan Koh Boh Tan.
Katanya lagi, selepas mencederakan kedua-dua mangsa, suspek dipercayai melarikan diri sebelum dia menghubungi polis memaklumkan kejadian itu.
Jelasnya, dia mendapat tahu mangsa meninggal dunia di HPSF sekitar jam 3 pagi selepas dimasukkan ke zon merah.
“Ketika kejadian, terdapat 10 pekerja di asrama terbabit dan mereka adalah pekerja kilang perabot.
“Lagi pun, kilang ini tidak beroperasi setiap hari paling kurang, tiga atau empat kali seminggu. Suspek bukan pekerja dan dia datang di sini, kami tidak tahu tujuannya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz ketika dihubungi berkata, polis akan keluarkan kenyataan media berhubung kejadian itu lewat petang ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.