comscore
Tumpuan :
Nasional

Pekerja ladang ditemui lemas, motosikal terbabas dalam parit 

Oleh: Fazli Ahmad

PEKAN: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang setelah motosikal ditungganginya terbabas ke parit semasa meredah air di ladang kelapa sawit Sungai Bebar Utara, Pekan dekat sini, semalam, ditemui lemas.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mayat Muhammad Adhwa Haslan, 31, dijumpai pasukan penyelamat kira-kira jam 10:30 pagi.

Mayat terbabit ditemui kira-kira 100 meter dari lokasi masa dilaporkan hilang.

“Paras kedalaman air di lokasi mayat dijumpai kira-kira tiga meter,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang semalam, mangsa bersama penyelia ladang dilaporkan menunggang motosikal pulang ke rumah selepas bekerja.

Ketika melintasi limpahan air, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit.

Penyelia ladang cuba menyelamatkan mangsa tetapi gagal dan Muhammad Adhwa dihanyutkan arus deras.

Operasi mencari dan menyelamat disertai polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dilancarkan sejurus mangsa dilaporkan hilang petang semalam dan ditamatkan selepas mayat lelaki terbabit ditemui pagi ini.

Mayat dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat.

Loading...
Terkini