comscore
Tumpuan :
Nasional

Pekerja OKU Cekap Laksanakan Tugas

Foto: NSTP

SEREMBAN: Meski dalam keadaan serba kekurangan, kumpulan pekerja orang kurang upaya (OKU) di Bengkel Seri Sembilan, di sini, produktif dan mampu menghasilkan sebanyak satu juta sampul surat dalam tempoh sebulan.

Bergantung kepada kuantiti sampul surat yang dihasilkan, pekerja OKU itu mampu menjana pendapatan dari RM900 hingga RM1,200 sebulan.

Aqil Nazhan Rahman, 29, yang mengalami masalah pembelajaran, berkata dia mempunyai pengalaman bekerja di tempat lain, namun menerima layanan seperti pekerja lain yang normal menyebabkan dia berhenti dan mencari pekerjaan lain sebelum diterima di bengkel berkenaan.

“Pegawai dari sebuah pusat latihan mencadangkan saya supaya memohon kerja di sini sebelum melalui temuduga dan diterima sebagai pembuat sampul. Semua pekerja daripada golongan sama, cuma berbeza dari segi kekurangan.

“Kami dilayan sama rata namun pendekatannya lebih mesra OKU. Saya tidak kisah apa orang kata, janji saya bekerja dan selesa dengan pekerjaan ini,” katanya ketika ditemui di bengkel berkenaan, baru-baru ini.

Hafimazatul Ashikin Kamaruddin, 31, yang berasal dari Rompin, Pahang, berkata, dia mampu menghasilkan 250 sampul surat dalam masa sehari walaupun mempunyai kekurangan pada bahagian tangan.

“Sebelum diterima kerja di sini, saya perlu menjalani temuduga dan pemeriksaan kesihatan serta fizikal terlebih dahulu bagi memastikan produk yang dihasilkan berkualiti dan tidak rosak bagi mengelakkan pembaziran kertas.

“Saya bersyukur dapat bekerja di sini dan mempunyai pendapatan sendiri tanpa berharap kepada ihsan atau bantuan orang lain. Di sini juga saya membina keyakinan diri dan belajar cara untuk bergaul serta berkomunikasi,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Bengkel Seri Sembilan, Harunarrsheed Mohd Ibrahim, berkata Bengkel Seri Sembilan mula menghasilkan sampul surat dengan menggajikan pekerja OKU sejak 1984 lagi.

Pembuatan sampul surat adalah produk utama kami yang mana pekerja diberi latihan sebelum diserapkan bekerja. Selain itu, kami juga menggajikan OKU untuk kerja pembersihan di kawasan bengkel, pertanian dan penternakan.

“Syarat utama kontrak, pekerja mestilah OKU ia sebagai inisiatif untuk membantu mereka menjana pendapatan sendiri.

Menurut Harunarrsheed, walaupun menggunakan tenaga kerja OKU, aspek kualiti sentiasa diutamakan dan hasil jualan bagi penghasilkan sampul surat mampu mencecah RM150,000 sebulan.

“Dalam masa sebulan kami mampu menghasilkan sejuta sampul surat dan hasilnya ada pekerja menjana pendapatan sehingga mencecah RM1,200. Gaji mereka bergantung kepada jumlah sampul yang dihasilkan.

“Mereka semua diberi penginapan dan makan percuma di bengkel ini. Keluarga tidak perlu membayar apa-apa, malah mereka juga mendapat elaun pekerja cacat,” katanya.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini