Tumpuan :
Nasional

Pekerja pembersihan didakwa bunuh Siti Zulaila, bapa dalam kes ‘cinta ditolak’

Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi (kanan) diiringi pegawai penyiasat polis untuk mendengar dua pertuduhan membunuh terhadap Muhammad Farhan Izzudin Rosman, 32, yang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang. Muhammad Farhan dituduh dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menikam Siti Zulaila dan bapanya Zulkifli Ibrahim sehingga maut, kemudian bertindak mengelar dan menikam dirinya beberapa kali. – FOTO: NSTP

GEORGE TOWN: Seorang pekerja pembersihan sebuah kilang didakwa, hari ini, atas dua pertuduhan membunuh Zulkifli Ibrahim dan anaknya, Siti Zulaila Zulkifli, di hadapan lif sebuah pangsapuri di Jalan Lengkok Angsana, Ayer Itam, di sini, Khamis lalu.

Muhammad Farhan Izzuddin Rosman, 32, mengangguk faham selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Majistret, Nadratun Naim Mohd Saidi pada prosiding yang dijalankan di Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini, berikutan tertuduh sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas kerana kes bunuh berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan bunuh sehingga menyebabkan kematian ke atas Zulkifli, 62.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan lif Blok 1 Sri Ivory Apartment, Jalan Lengkok Angsana, antara jam 12.54 hingga 1.25 tengah hari, 7 November lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Siti Zulaila, 30, di lokasi dan pada waktu yang sama.

Kedua-dua pertuduhan terbabit dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun atau tidak lebih 40 tahun serta tidak kurang 12 kali sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini, manakala tertuduh tiada diwakili peguam.

Majistret kemudian menetapkan 15 Januari tahun depan bagi sebutan semula kes.

Terdahulu, Nadratun tiba di pekarangan HPP pada jam 11.38 pagi dan hadir sama ialah Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Azrul Azizan Mat Rawi.

Sebelum ini, media melaporkan polis mengesahkan insiden pembunuhan seorang wanita dan bapanya di Lengkok Angsana pada Khamis lalu, dipercayai berpunca daripada ‘cinta ditolak’.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake, dipetik berkata hasil siasatan mendapati suspek warga tempatan berusia 32 tahun itu dipercayai menaruh perasaan terhadap wanita berkenaan tetapi mangsa dikatakan tidak berminat dengan lelaki terbabit.

Swee Sake memaklumkan sebelum kejadian, suspek juga didakwa melakukan ugutan bunuh terhadap keluarga mangsa di kediaman mereka.

Dalam kejadian itu, Siti Zulaila dan Zulkifli dilaporkan maut akibat ditikam di hadapan lif sebuah pangsapuri.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa wanita itu baru pulang dari tempat kerja sebelum didatangi suspek yang didakwa bersenjatakan pisau dan menikamnya.

Bapa mangsa yang menyedari kejadian itu dipercayai cuba meleraikan tindakan suspek tetapi turut ditikam.

Suspek didakwa turut mengelar dan menikam dirinya beberapa kali sebelum dikejarkan ke HPP untuk rawatan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini