comscore
Tumpuan :
Nasional

Peladang Sabah buat laporan SPRM berkaitan tuntutan RM2 Juta

Ahli Jemaah Pengarah PPNS, Datuk Ng Loi Tect pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jemaah PPNS, di Kota Kinabalu.

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) tidak melunaskan hutang yang mencecah lebih RM2 juta.

Ahli Jemaah Pengarah PPNS, Datuk Ng Loi Tect, berkata jumlah itu termasuk sewa gudang baja dan semua pembayaran yang dituntut PPNS berkaitan kerja pembekalan serta penghantaran baja kepada ahli pertubuhan itu di seluruh negeri.

Katanya, laporan yang dibuat PPNS itu bagi meminta SPRM menyiasat beberapa pegawai NAFAS yang disyaki ada kepentingan lain sehingga sengaja melengahkan proses pembayaran kepada PPNS yang menyebabkan tunggakan bayaran selama dua tahun.

Beliau berkata, laporan polis juga telah dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan dan tindakan yang sewajarnya diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab dalam soal pengurusan kontrak dan pembayaran hutang kepada PPNS.

Gudang baja yang disewa di Inanam dan semua pembayaran yang dituntut PPNS berkaitan kerja pembekalan serta penghantaran baja kepada ahli pertubuhan itu di seluruh Sabah.

“Kita membuat ketetapan untuk melaporkan kes ini kepada SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dengan beberapa pegawai NAFAS yang kita tahu sengaja melengahkan proses pembayaran (hutang) kepada PPNS.

“Saya ingin tegaskan bahawa keperluan untuk NAFAS membayar sewa gudang dan hutang yang begitu lama tertunggak adalah sangat penting kerana ini untuk keperluan ahli PPN di Sabah yang merangkumi 26 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang bergantung kepada kita,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Pengarah PPNS.

Pada masa yang sama Loi Tect turut meminta kerajaan persekutuan, khususnya Perdana Menteri campur tangan supaya pihak NAFAS bertanggungjawab untuk menyelesaikan tuntutan PPNS, selain memastikan sebarang projek berkaitan peladang dan kepentingannya diutamakan dan diberikan kepada PPNS sebagai sebuah Pertubuhan yang menjaga kebajikan ahlinya di negeri ini.

“Kita meminta kepada kerajaan untuk melihat PPNS ini sebagai satu pertubuhan yang menjadi tempat bergantung ahli pertubuhan kita di Sabah, iaitu ada 26 Pertubuhan Peladang Kawasan semuanya. Jadi kita minta PPNS mendapat anugerah projek yang sebelum ini kita dapat tetapi kebelakangan ini tidak diberikan oleh NAFAS dan di permainkan oleh pegawai pegawai kanan NAFAS.

“Apa yang menyebabkan kita terpaksa menyebut perkara ini ialah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) di Semenanjung mendapat anugerah projek, jadi kita minta Sabah sepatutnya diberikan layanan yang sama,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini