NIBONG TEBAL: Pelajar masih dibenarkan memakai baju sukan ke sekolah meskipun keadaan cuaca bertambah baik.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata setakat ini kementerian belum membuat ketetapan atau garis masa berhubung pemakaian semula pakaian seragam sekolah.
“Pergi sahaja sekolah (dengan berpakaian) apa sahaja (kemas dan bersesuaian), asalkan yang penting pakai baju,” katanya berseloroh ketika ditanya berhubung jangkaan kementerian mengembalikan semula pemakaian baju seragam sekolah seperti biasa susulan keadaan cuaca yang semakin baik.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Pembinaan Karakter Bangsa Malaysia Pelajar Lepas Menengah di Dewan Dato’ Haji Ahmad Salleh, di sini, hari ini.
Pada 3 Mei lalu, kementerian memberikan kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya untuk memakai pakaian sukan semasa cuaca panas dan kering.
Murid yang memakai pakaian seragam sekolah pula tidak diwajibkan memakai tali leher, memandangkan keadaan cuaca panas boleh mencetuskan gelombang haba yang memudaratkan kesihatan.
Sebelum ini Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, cuaca panas yang melanda negara dijangka berlarutan sehingga Ogos, dan negeri yang paling terkesan adalah di utara dan pantai timur.