Tumpuan :
Nasional

Pelajar cemerlang STPM, setaraf dijamin tempat di universiti pilihan – KPT

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

KUALA LUMPUR: Semua pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf yang memohon melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan tinggi dengan Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 bagi permohonan dalam dua tahun ini berjaya mendapat tempat pengajian mengikut pilihan mereka.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata seramai 4,304 calon cemerlang STPM atau setaraf memohon kemasukan ke universiti bagi pengambilan Sesi Akademik 2022/2023, manakala 4,318 lagi pada Sesi Akademik 2023/2024.

“Daripada jumlah itu, semua calon cemerlang dengan PNGK 4.00 ini ditawarkan tempat pengajian dalam pilihan mereka.

“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ingin menjelaskan bahawa bagi memastikan setiap pemohon yang layak mempunyai kebarangkalian tinggi mendapat tempat pengajian, UPUOnline membenarkan calon membuat sehingga maksimum 12 pilihan program pengajian berdasarkan kelayakan mereka.

“Penawaran (tempat pengajian) hanya akan diberikan berdasarkan pilihan yang dibuat calon sahaja,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang meminta minta KPT menjelaskan mengapa setiap tahun ada kalangan pelajar cemerlang STPM yang mendapat A dalam semua mata pelajaran dengan PNGK 4.0 tetapi tidak ditawarkan kursus pilihan pertama mereka.

Beliau turut meminta penjelasan kementerian sama ada sistem kuota diamalkan bagi kemasukan kepada sesuatu kursus terutamanya kursus profesional membezakan pelajar-pelajar daripada aliran Matrikulasi dan aliran STPM.

Zambry berkat, dalam hal itu, persaingan dalam kalangan calon merangkumi aspek pencapaian akademik, perakuan temu duga dan atau ujian, bilangan tempat yang terhad dan keutamaan pilihan calon.

“Oleh itu, mengambil kira aspek-aspek ini, sudah pasti akan terdapat calon tidak mendapat pilihan pertama,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini