comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar diploma bergraduasi bersama bayi dalam kandungan

Nurul Fadhilah Johari yang hamil 9 bulan ditemani suaminya, Muhamad Haziq Mat Sofi, pada Majlis Konvokesyen Politeknik Kuala Terengganu kali ke-20 di Dewan Konvensyen Taman – Tamadun Islam (TTI) – Foto :NSTP

KUALA TERENGGANU: “Gembira.. itu saja yang saya mampu ungkapkan kerana dapat bergraduasi dengan bayi dalam kandung yang dijangka akan bersalin minggu hadapan,” kata Nurul Fadhilah Johari, 22, yang berasal dari Jerantut, Pahang.

Menurut pelajar jurusan Diploma Elektrik dan Elektronik Politeknik Kuala Terengganu itu, dia tidak menyangka berpeluang menghadiri Majlis Konvokesyen Ke-20, dengan ‘berbadan dua’.

Katanya, dia sedikit berdebar kerana hadir dengan kelainan apabila hamil anak sulung yang dijangka bersalin minggu hadapan.

“Alhamdulillah, walaupun menempuh perjalanan jauh dari Puncak Alam, Selangor ke Kuala Terengganu, selama tujuh jam namun keletihan terubat apabila menerima diploma dalam majlis konvokesyen kali ini.

“Konvensyen ini meninggalkan pengalaman manis buat diri saya kerana hanya seminggu lagi dari tarikh bakal bersalin,” katanya ketika ditemui hari ini.

Katanya, dia kini tinggal di Selangor, selepas mendirikan rumah tangga dan tidak menolak untuk hadir ke majlis konvokesyen walaupun keadaan sedang sarat mengandung.

Menurutnya, dia yang ditemani suami Muhamad Haziq Mat Sofi, 23, mengambil keputusan datang ke Kuala Terengganu, bagi meraikan hari bersejarahnya itu.

Katanya, walaupun bergelar seorang ibu dia berhajat untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda selepas ini.

Sementara itu, penerima Anugerah Pengarah, Siti Nur Afifah Sheikh Shamsul Annuar Banafex, 22, dari Kuantan, Pahang berkata, hari ini adalah hari yang paling bahagia buat dirinya.

“Perasaan bercampur-baur, teruja, gembira apabila diumumkan menerima anugerah ini dan penat lelah bergelar seorang pelajar kini terubat.

“Sekarang saya bertugas sebagai pembantu tadbir di Majlis Sukan Negeri Pahang, dan kini sudah mendapat biasiswa menteri Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya yang juga pelajar diploma Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Menurutnya, dia kini hanya menunggu keputusan permohonan dan berhajat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang sama iaitu teknologi dan komunikasi.

Katanya, usaha berterusan selain berkat doa ibu bapa membuahkan hasil apabila dia dinobat sebagai penerima anugerah pengarah dalam konvensyen kali ini.

Dalam pada itu, seramai 164 pelajar terdiri daripada 75 gradual Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan 89 graduan Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, diraikan dalam majlis konvokesyen kali ini.

Loading...
Terkini