comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar ditampar dalam tandas, KPM serah kepada polis 

NIBONG TEBAL: Siasatan penuh berhubung video tular yang memaparkan seorang pelajar perempuan ditampar rakannya di dalam tandas sebuah sekolah menengah dipercayai di Kerian, Perak, sedang dijalankan pihak polis.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya telah menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa sebelum mengambil tindakan sewajarnya mengikut garis panduan ditetapkan.

“Kes ini (pelajar ditampar rakan) sudah pun kita laksanakan siasatan dan serahkan pada pihak autoriti (polis) untuk memastikan bahawa tindakan sewajarnya diambil.

“Begitu juga dengan pendekatan (KPM) untuk terus mengekang kejadian buli di sekolah. Jadi saya ambil kesempatan ini untuk terus memperingatkan khususnya ibu bapa. para guru, komuniti dan anak-anak supaya tidak terjebak dengan gejala buli ini.

“Kita sudah pun menetapkan peraturan dan juga menambah baik segala garis panduan kita berkaitan mengekang kejadian buli khususnya di institusi pendidikan di bawah KPM,” ujarnya ketika diminta mengulas mengenai insiden berkaitan.

Terdahulu beliau ditemui ketika menyantuni petugas media di Pusat Media sempena Pilihan Raya Kecil ( PRK) Sungai Bakap di Kompleks Rakan Muda di Jawi, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Polis Perak menjalankan siasatan berhubung satu video tular memaparkan seorang pelajar wanita dibuli di sebuah sekolah menengah dipercayai berlaku di daerah Kerian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini