Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA NERUS: 150 pelajar kemahiran Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu membantu mangsa banjir dengan membaiki peralatan elektrik yang rosak ditenggelami air.
Mereka bersama tenaga pengajar, memberi khidmat secara percuma dan mengharapkan dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir.
Tinjauan di Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak di Kuala Nerus, pelajar kemahiran terbabit tekun membaiki peralatan elektrik yang rosak akibat banjir.
Barangan yang dibaiki antaranya kipas, mesin basuh, peti sejuk, televisyen dan ketuhar.
Perkhidmatan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
Suhaizan Mohamad, merupakan mangsa banjir yang terjejas baru-baru ini berkata, perkhidmatan yang ditawarkan ILP dapat meringankan bebannya.
“Barang saya tenggelam di air baru ni kebetulan ada pelajar ILP datang baiki secara percuma tu yang saya hantar untuk dibaiki jimat belanja saya sekarang ni kos mahal nak hantar kedai tahun lepas saya hantar sini”, katanya.
Seorang lagi mangsa banjir, Che Li Che Soh berkata, barang elektrik yang rosak sudah dapat dibaiki dan berfungsi dengan baik.
“Tahun ni air masuk rumah saya sekaki setengah jadi banyak peralatan elektrik rosak, jadi terima kasih kepada ILP yang membaiki kerosakan barang yg dilanda banjir”, ujarnya.
Bagi pelajar ILP, selain dapat menyantuni mangsa banjir, mereka juga dapat mempraktik apa yang dipelajari di dalam kelas.
Mohd Arif Razali, seorang pelajar kemahiran di institut itu amat gembira dapat membantu mangsa banjir.
“Dengan kemahiran yang saya belajar, saya boleh praktis semula di ILP. Gembira dapat tengok mangsa banjir tersenyum dan meringankan beban mereka”, katanya.
Rakannya, Ismail Shamsuddin pula berkata, dia akan sentiasa terbuka dan ringan tulang jika perkhidmatan yang ditawarkan itu mendapat sambutan baik daripada mangsa banjir.
“Rasa banggalah. Kita punya kemahiran untuk bantu penduduk di sini, kita boleh baiki diri kita selama apa yang kita belajar,” kongsinya.
Perkhidmatan percuma ini dijangka akan diteruskan jika mendapat sambutan menggalakkan daripada mangsa banjir.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.