KUALA PILAH: Seorang pelajar lelaki 14 tahun menghembuskan nafas terakhir setelah lima hari bertarung nyawa akibat kemalangan membabitkan sebuah kereta semasa melintas jalan di Kilometer 29 Jalan Seremban–Kuala Pilah berdekatan Taman Pemarak Tanjung Ipoh pada 18 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani, berkata kemalangan itu berlaku apabila pemandu warga emas lelaki berumur 68 tahun memandu Proton Saga dalam perjalanan dari Melang ke Seremban.
Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta itu terlanggar mangsa yang melintas dari bahu jalan sebelah kiri ke kanan jalan.
“Akibat kemalangan terbabit, mangsa cedera parah di kepala dan dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah disahkan meninggal dunia 11 pagi semalam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pemandu kereta sudah tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Kuala Pilah pada hari yang sama kejadian berlaku untuk membuat laporan polis.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.