comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar mahu beli air, maut dirempuh kereta dalam kemalangan langgar lari

FOTO: Ihsan PDRM

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Seorang pelajar maut manakala seorang lagi rakannya parah selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian langgar lari di Jalan Klebang Besar, Klebang di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, Muhammad Afiq Danish Abd Aziz, 14, yang membonceng motosikal jenis Honda meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, rakannya, Tan Kok Som, 41, yang menunggang motosikal itu mengalami kecederaan parah.

FOTO: Ihsan PDRM

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kedua-dua mangsa yang datang dari arah Bandaraya Melaka menghala ke Pantai Klebang ingin ke sebuah stesen minyak untuk membeli air.

“Secara tiba-tiba sebuah kereta jenis Proton Waja yang datang dari arah sama melanggar motosikal mangsa dari arah belakang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Christopher, akibat rempuhan itu, kedua-dua mangsa tercampak di atas jalan dan salah seorang mereka disahkan menemui ajal di tempat kejadian.

FOTO: Ihsan PDRM

“Pemandu Proton Waja terbabit melarikan diri dan meninggalkan kereta yang dipandunya di lokasi kejadian,” ujarnya.

Mayat pelajar terbabit jelasnya, dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Sementara itu, kata beliau, Kok Som yang cedera parah dimasukkan ke Zon Merah hospital sama.

Siasatan tambahnya, masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Loading...
Terkini