Tumpuan :
Nasional

Pelajar Malaysia ke Mesir perlu lalui kursus intensif Bahasa Arab

Oleh: Azwaliza Azman

KAHERAH: Semua pelajar Malaysia yang akan melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar Al-Sharif perlu melalui kursus intensif Bahasa Arab sebelum ke negara berkenaan bagi memastikan penguasaan bahasa yang lebih baik.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pelaksanaannya akan dilakukan awal tahun depan melalui Institut Bahasa Arab di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Perkara berkenaan ujarnya dipersetujui bersama Sheikh Al-Azhar Al-Sharif, Profesor Dr Ahmad Muhammmad Ahmad At-Tayyeb, ketika pertemuannya di universiti itu di Kaherah, kelmarin.

Ia bagi memastikan mutu penguasaan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar Malaysia dipertingkatkan sebelum melanjutkan pengajian di universiti berkenaan.

“Pelajar-pelajar lain, golongan profesional akan memanfaatkan kemudahan itu dengan kos yang sangat rendah kerana Kerajaan Malaysia akan menyediakan tempat dan Universiti Al-Azhar akan menyediakan Profesor dan Pensyarah atas biayaan mereka.

“Jadi ini akan beri manfaat sangat tinggi kepada kita dan menunjukkan keyakinan Universiti Al-Azhar secara keseluruhannya,” katanya kepada media Malaysia di Kaherah.

Tambahnya, kursus berkenaan tidak diwajibkan, namun pelajar Malaysia yang menjalani kursus itu akan diberikan markah tambahan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kaherah, selepas menamatkan lawatan rasmi di Mesir.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini