comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar maut digilis kereta dalam perjalanan ke sekolah 

Jenazah Allahyarham Muhammad Syahmiasyraf Mohd Zaini yang maut dalam kemalangan di Kampung Air Baruk, pagi tadi. FOTO: PDRM

JASIN: Seorang pelajar tingkatan dua maut selepas motosikal dinaikinya terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Air Baruk, di sini hari ini.

Nahas kira-kira jam 7.20 pagi itu mengakibatkan mangsa, Muhammad Syahmiasyraf Mohd Zaini, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Bendahara, di sini mengalami cedera parah dan disahkan maut di lokasi kejadian.

Sementara rakannya yang juga penunggang motosikal berusia 16 tahun, mengalami kecederaan di bahagian kepala dan beberapa bahagian badan yang lain.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, kemalangan maut itu membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah lori, Honda Civic dan motosikal.

Allahyarham Muhammad Syahmiasyraf Mohd Zaini yang maut kemalangan ketika ke sekolah. FOTO: PDRM

Beliau berkata, sebelum kemalangan lori muatan produk makanan dan motosikal dinaiki mangsa dalam perjalanan dari arah Kesang menghala ke Bandar Jasin, manakala Honda Civic dipandu guru wanita dari arah bertentangan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila lori terbabit yang ketika itu tiba di Kampung Air Baruk memperlahankan kenderaan kerana van dihadapannya berhenti untuk masuk ke simpang.

“Semasa bergerak perlahan, motosikal dinaiki mangsa yang datang dari arah belakang dikatakan tiba-tiba merempuh bucu kanan belakang lori menyebabkan kedua-dua pelajar sekolah terbabit tercampak ke lorong bertentangan.

“Pada masa sama sebuah kereta melalui lokasi kejadian dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa,” katanya.

Ahmad Jamil berkata, akibat pelanggaran itu, Muhammad Syahmiasyraf maut di lokasi kejadian akibat cedera parah manakala rakannya pula dikejarkan ke Hospital Jasin untuk menerima rawatan.

“Mangsa yang maut dihantar ke unit forensik hospital sama bagi proses bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga bagi urusan pengebumian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Loading...
Terkini