comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar maut dirempuh kereta dipandu warga emas

Keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan di Jalan Bemban-Jasin, di sini, tengah malam tadi. – Foto: Ihsan PDRM

Oleh: Baharuddin Mohamed

MELAKA: Seorang pelajar tingkatan tiga maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta yang terbabas di Jalan Bemban-Jasin, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.05 tengah malam itu, Raja Zuhairi Najmi Raja Din, 16, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman berkata, seorang lagi rakannya, Muhammad Adam Shaiful Amran, 16, yang menunggang sebuah lagi motosikal yang turut dilanggar kereta terbabit, hanya mengalami kecederaan ringan.

Menurut beliau, ketika kejadian, Raja Zuhairi Najmi dan Muhammad Adam Shaiful dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Haji Abdul Aziz Tapa, Jasin di sini, yang masing-masing menunggang motosikal jenis Honda Wave dan Honda EX5 dalam perjalanan dari arah Jasin ke Bemban.

“Setibanya di lokasi kejadian, secara tiba-tiba sebuah kereta jenis Mercedez Benz dipandu seorang warga emas berusia 72 tahun yang datang dari arah bertentangan, dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan motosikal pelajar terbabit.

“Semasa kereta Mercedez Benz itu terbabas dan memasuki laluan bertentangan, kedua-dua motosikal terbabit yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak dan membrek lalu bertembung kereta dipandu warga emas itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Fadzli, akibat pertembungan tersebut, Raja Zuhairi Najmi mendapat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan menemui ajal di lokasi kemalangan.

Mayat mangsa ujarnya, dihantar ke Hospital Jasin untuk proses bedah siasat.

Rakannya kata beliau, mendapat kecederaan ringan dan dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Sementara itu ujarnya, warga emas yang memandu kereta mewah itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes berkenaan tambahnya, disiasat di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Loading...
Terkini