comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar maut kemalangan di New Zealand: Megat Ashman Aqif sempat hadiahkan telekung kepada ibu

Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni.

 

TELUK INTAN: Pelajar Malaysia yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Tasik Tekapo, New Zealand semalam, Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni memberikan hadiah telekung semasa ulang tahun kelahiran ibunya pada 12 Mac lalu.

Menurut Noor Aishah Abdul Latif, 49, Megat Ashman Aqif atau mesra dipanggil Qif, 21, menghantar hadiah berkenaan menggunakan khidmat syarikat penghantaran.

“Arwah buat kejutan, dia hantar kek dan telekung. Saya kata mahal ni Qif, jauh-jauh simpan duit banyak nak pakai kat saya. Dia balas tak apa ibu, tak apa. Baru ini dia beritahu, Aqif ada kirim duit sikit dekat ibu. Saya kata kenapa Aqif bagi dekat ibu, sepatutnya ibu yang bagi pada Aqif. Dia kata … Aqif nak berkat, ibu doakan Aqif ya. Dia memang anak yang baik.. apa-apa dia akan ‘ya ibu..ya ibu.”

Katanya, Qif yang juga anak kedua daripada tiga beradik itu bekerja sambilan semasa cuti semester di New Zealand.

Arwah hubungi saya pada Selasa lalu, menerusi panggilan video di WhatsApp, dia kata akan menduduki peperiksaan pada Khamis. Dia cakap Aqif ada ‘exam’, ibu doakan Aqif ya,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di kediamannya di Kampung Melayu Langkap, di sini, hari ini.

Suri rumah itu berkata, kali terakhir dia bertemu Aqif adalah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Julai tahun lalu untuk menghantar anaknya itu menyambung pengajian dalam bidang perdagangan di University of Canterbury, Christchurch, New Zealand.

“Arwah seorang yang rajin bersembang, sepanjang belajar di sana dia hubungi saya setiap minggu bercerita aktivitinya, kadang-kadang hampir sejam bersembang. Kita tak rasa dia jauh.”

“Sedih..Allah pinjamkan dia selama 21 tahun dan ambil semula dia dalam Ramadan.”

Katanya lagi, Allahyarham ada menyatakan hasrat untuk pulang ke Malaysia untuk beraya bersama, namun dia menasihati Aqif supaya tidak berbuat demikian memandangkan dia baharu sahaja berada di sana.

Noor Aishah berkata dia mendapat khabar duka itu daripada bapa Aqif, Megat Irman Jefni Megat Khas Hussaini kira-kira 11 pagi semalam.

Kementerian Luar melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington mengesahkan insiden kemalangan jalan raya membabitkan lima pelajar Malaysia di Lake Tekapo pada jam 1.45 tengah hari waktu tempatan semalam.

Dua pelajar Malaysia dikenali sebagai Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni dan Wan Nur Adlina Alisa maut di lokasi kejadian.

Tiga lagi pelajar, Nur Firas Wafiyyah, Lya Issable Walton dan Muhamad Faris Mohd Fairusham cedera dan masih dirawat di Hospital Christchurch di South Islands, New Zealand.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini