comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar maut kemalangan tidak sempat hadiri program AADK

Keadaan motosikal dinaiki dua pelajar yang mahu menyertai program AADK di Telok Kemang selepas terlibat kemalangan di Kilometer 7 Jalan Bahau – Batu Kikir.Foto ihsan PDRM

JEMPOL: Hasrat seorang pelajar yang mahu menyertai program skuad antidadah di Telok Kemang tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua buah motosikal pada jam 7.40 pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Rizal Hakimi Yusrizalhanasri, 17 tahun.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata kejadian berlaku di Kilometer 7 Jalan Bahau-Batu Kikir ketika mangsa sedang membonceng motosikal Yamaha Y15ZR yang ditunggangi rakan sekolahnya.

Katanya, mangsa dan rakannya juga berusia 17 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Mansor dipercayai dalam perjalanan ke pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Serting untuk berkumpul sebelum bergerak ke Telok Kemang.

Setibanya di tempat kejadian, motosikal mereka telah melanggar bahagian belakang motosikal Honda EX5 yang ditunggangi seorang lelaki berusia 44 tahun.

Siasatan awal mendapati lelaki terbabit sedang dalam perjalanan dari arah rumahnya di Kampung Serting Ilir menuju ke sebuah kedai berhampiran.

Insiden itu menyebabkan motosikal dibonceng mangsa turut merempuh penghadang jalan dan mangsa tercampak ke bahu kiri jalan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala oleh doktor dari Klinik Kesihatan Bahau.

Rakannya patah kaki kanan dan luka di muka manakala penunggang motosikal Honda EX5 patah kaki kiri.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat.

Polis akan merakam keterangan saksi kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini