comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar maut ketika pulang bermain futsal

Oleh: Fazli Ahmad

KUALA LIPIS: Seorang pelajar tahun enam maut selepas motosikal ditungganginya merempuh belakang sebuah kereta di Kilometer 21, Jalan Lipis-Lubuk Kulit, di Kampung Beletik, dekat sini, lewat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, akibat rempuhan itu, Sayid Nurakmal Abdul Hisham, 13, tercampak ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah motosikal dari arah hadapan.

Menurutnya, akibat kemalangan itu murid Sekolah Kebangsaan Lubuk Kulit terbabit maut di tempat kejadian.

Katanya, penunggang motosikal terbabit dengan kemalangan itu berusia 34 tahun turut tercedera dan pemandu Proton Persona yang dirempuh simati berusia 39 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kemalangan berlaku kira-kira jam 6:30 petang dan siasatan awal mendapati ketika kejadian, murid terbabit menunggang motosikal dari arah Kampung Lubuk Kulit ke Lipis untuk pulang ke rumah selepas bermain futsal,”

“Apabila sampai di lokasi kejadian, motosikal ditunggangi mangsa merempuh bahagian kanan belakang kereta sedang bergerak dihadapannya,”

“Akibat pelanggaran itu, motosikal mangsa terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung pula dengan motosikal dari arah hadapan.” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Azli berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk proses bedah siasat.

Menurutnya, kemalangan terbabit disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal secara melulu dan menyebabkan kemalangan maut.

Katanya, semakan polis mendapati cukai jalan dua motosikal serta kereta terbabit dengan kemalangan itu sudah tamat tempoh dan kedua-dua penunggang tidak memakai topi keledar ketika kejadian.

Loading...
Terkini