comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar maut merentas desa: Ibu bapa perlu maklum sekolah status kesihatan anak – JPNS

 

SEREMBAN: Ibu bapa atau penjaga diminta memaklumkan kepada guru atau pihak sekolah mengenai status kesihatan anak masing-masing bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku terhadap pelajar ketika aktiviti kokurukulum di sekolah.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Dr Roslan Hussin, berkata dengan cara itu, pihak sekolah mendapat maklumat tepat mengenai kedudukan seseorang pelajar sekali gus mereka yang mempunyai masalah kesihatan dapat dikecualikan daripada terbabit dalam kegiatan kokurikulum.

“Pelajar-pelajar ini minat untuk menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah atas dasar kawan yang lain menyertainya, guru atau pihak sekolah tidak mempunyai maklumat kesihatan setiap pelajar.

“Apabila kita minta maklumat kesihatan, ada ibu bapa tidak memberikannya mungkin beranggapan ia perkara biasa.

“Oleh itu, ibu bapa atau penjaga dan pelajar itu sendiri mesti memaklumkan kepada guru atau pihak sekolah mengenai status kesihatan, mereka perlu secara jujurnya memaklumkan kepada guru-guru tentang kesihatan atau rekod kesihatan masing-masing,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas kejadian seorang pelajar lelaki sekolah menengah dekat Jalan Kampung Gentam, Taman Fatimah, di Kuala Pilah, dekat sini, yang meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai aktiviti merentas desa sekolah itu, pagi semalam.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, 14, dikejarkan ke hospital dan diberikan rawatan, namun disahkan meninggal dunia kira-kira dua jam kemudian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab, dilaporkan berkata remaja berkenaan menyertai sukan anjuran sekolah itu bersama kira-kira 700 pelajar lain kira-kira jam 8 pagi.

Difahamkan, guru yang berada di lokasi dikatakan memberikan bantuan pernafasan tetapi remaja berkenaan tiada tindak balas sebelum pihak sekolah menghubungi talian kecemasan 999.

Roslan berkata, setiap sekolah sememangnya mematuhi garis panduan ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi aktiviti luar bilik darjah ketika cuaca panas.

Beliau berkata, sebarang aktiviti luar bilik darjah tidak boleh dijalankan, sekiranya suhu mencapai 35 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Menurutnya, pihaknya melahirkan rasa sedih dengan kejadian itu berikutan pihak sekolah tidak mempunyai maklumat berkaitan status kesihatan pelajar terbabit.

Roslan menegaskan bahawa perkara itu juga adalah di luar kawalan pihak sekolah dan guru.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini