comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Pelajar OKU maut, motosikal ditunggangi bertembung kereta

FOTO: IPD Melaka Tengah

MELAKA: Seorang pelajar sekolah terbunuh selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Klebang Besar, kira-kira jam 2.30 pagi semalam.

Mangsa, Muhammad Faizal Yahaya, 17, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) pembelajaran disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dialami.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil siasatan awal nahas berlaku ketika mangsa yang menunggang Yamaha 135LC dalam perjalanan dari arah Klebang menghala ke Batang Tiga.

“Sebaik tiba di lokasi, motosikal mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Toyota Vio dipandu lelaki berusia 35 tahun yang tidak sempat mengelak.

FOTO: IPD Melaka Tengah

“Akibatnya mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan dalam dialaminya manakala pemandu kereta tidak cedera,” katanya dihubungi di sini.

Beliau berkata, mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Rahmat, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat manakala kenderaan terbabit dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer untuk pemeriksaan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini