
GUA MUSANG: Perjalanan lebih 15 jam terpaksa ditempuh lebih 50 pelajar Orang Asli di Pos Balar dan Pos Belatim untuk pulang ke rumah mereka sempena cuti sekolah apabila jalan menuju ke perkampungan Orang Asli itu rosak teruk akibat hujan sejak seminggu lalu.
Kumpulan pelajar yang menaiki tujuh buah kenderaan pacuan empat roda itu terpaksa menempuh perjalanan dengan keadaan jalan berlumpur yang menyebabkan kenderaan dinaiki mereka tersekat beberapa kali.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Balar, Hanan Anjang berkata, difahamkan kumpulan pelajar terbabit bertolak dari Kuala Betis kira-kira jam 1 petang dan tiba di Pos Balar jam 3 pagi pada Khamis lalu.
Katanya, kerana bimbangkan keselamatan pelajar terbabit, golongan bapa mengambil inisiatif menunggu anak mereka di Kampung Peng, Pos Balar dan Kampung Chemal, Pos Belatim.
“Sebagai wakil penduduk kampung sudah pasti saya sangat risaukan keselamatan pelajar dari Pos Balar sehingga kami mengambil inisiatif untuk menunggu anak-anak ini di tengah jalan.
“Keadaan jalan di Kampung Chemal dan Kampung Peng antara yang sangat teruk, jadi apabila kenderaan pacuan empat roda tidak dapat melaluinya, kami bergotong royong untuk membaiki jalan membolehkan kenderaan pacuan empat roda melaluinya.
“Sebanyak 50 motosikal penduduk keluar untuk menunggu kenderaan pacuan empat roda yang membawa pelajar Orang Asli.
Katanya, mereka mengambil langkah itu untuk memastikan keselamatan pelajar terbabit kerana keadaan sudah lewat malam.
“Saya harap laluan ini dapat diselenggara secara berkala sementara menanti Projek Jalan Perhubungan Desa siap sepenuhnya seperti yang dirancang,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.