comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pelajar Palestin di universiti awam dikecualikan yuran pengajian setahun

 

SEPANG: Lebih 600 pelajar Palestin yang sedang menuntut di universiti awam di Malaysia akan mendapat pengecualian yuran pengajian bagi tempoh setahun berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, satu perbincangan turut akan diadakan dengan universiti swasta bagi memberi pengecualian yuran kepada lebih 200 pelajar Palestin yang sedang melanjutkan pengajian di institusi mereka bagi tempoh setahun.

Katanya, terdapat lebih 800 pelajar Palestin sedang menuntut di Malaysia dengan lebih 200 di universiti swasta dan selebihnya di pelbagai peringkat pengajian di universiti awam.

“Kita juga sedang mempertimbang untuk memberi elaun bulanan selama setahun kepada semua pelajar universiti awam dan universiti swasta (Palestin) dan semua ini (pengecualian yuran dan elaun bulanan) akan membabitkan kos kira-kira RM20 juta hasil sumbangan daripada universiti awam, swasta dan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan Global Higher Education Forum 2023 di sini hari ini.

Dalam pada itu Mohamed Khaled berkata, pengumuman mengenai maklumat lanjut berhubung pengecualian yuran pengajian dan elaun bulanan terbabit akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Kita akan umum dari segi jumlah sebenar dalam sedikit masa lagi, kita sudah di peringkat akhir,” katanya.

Beliau berkata, KPT memberi perhatian terhadap kesan dihadapi pelajar Palestin susulan konflik peperangan yang berlaku di Gaza.

“Sudah tentu mereka antara terkesan secara langsung daripada apa yang berlaku di negara terbabit, maka kita sedar keadaan pembelajaran mungkin terputus dan mereka mungkin tidak lagi dapat sokongan pembiayaan daripada keluarga atau penaja,” katanya.

Loading...
Terkini