comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar sekolah agama maut kemalangan

MANGSA kemalangan di persimpangan jalan Kampung Gajah Puteh, petang semalam. FOTO ihsan Bridget Sukarelawan Yayasan Jariah Malaysia

Sik: Pelajar sekolah agama maut manakala rakannya cedera selepas motosikal yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di persimpangan jalan Kampung Gajah Puteh, di sini, petang semalam.

Kemalangan jam 6.30 petang itu menyebabkan Muhammad Naufal Muhammad Lutfi, 15, pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Irsyadiah Pondok Ampang, Jeneri maut selepas parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sik.

“Ketika kejadian sebuah lori dari arah jalan Sungai Tiang tidak sempat mengelak motosikal yang ditunggangi rakan mangsa yang ingin membelok masuk dari arah Kota Bukit.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa melambung dan jatuh ke bahu jalan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdull Razak berkata, rakan mangsa hanya mengalami kecederaan tidak serius dan menerima rawatan di Hospital Sik.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini