comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar sekolah rendah, OKU nikmati tambang percuma KTMB 15 Februari depan

KUALA LUMPUR: Pelajar sekolah rendah dan orang kurang upaya (OKU) di seluruh negara yang menggunakan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menikmati tambang percuma bermula 15 Februari depan.

Perkara itu diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang berkata, pihak kementerian akan turut membincangkan langkah serupa kepada beberapa golongan memerlukan seperti pelajar sekolah menengah dan warga emas yang turut menggunakan perkhidmatan itu.

Beliau berkata, antara golongan yang benar-benar mendapat manfaat itu adalah sejumlah 150 orang pelajar sekolah rendah di laluan stesen kereta api Dabong ke Kuala Gris.

“Pelajar sekolah tidak lagi perlu membeli tiket kereta api, sebaliknya dibolehkan terus menaiki kereta api sekiranya berpakaian uniform sekolah sahaja.

FOTO: NSTP

“Secara prinsipnya kami beri tambang percuma kepada semua pelajar sekolah, namun saya akan berbincang dengan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk memberikan manfaat sama kepada pelajar sekolah menengah, sekiranya ada peruntukan,” katanya.

Beliau sebelum itu menyantuni penumpang-penumpang KTMB di Stesen KL Sentral sempena sambutan perayaan Tahun Baharu China.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhira Muniayan.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, tambang percuma itu bagaimanapun tidak membabitkan perkhidmatan tren elektrik (ETS).

Menyentuh mengenai OKU, beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan cadangan yang diberikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri malah sudah mengadakan perbincangan di peringkat kabinet berhubung perkara berkenaan.

“Kita berusaha untuk menambah baik kemudahan kepada golongan sasar seperti OKU, warga emas dan pelajar.

“Kita akan berbincang lebih lanjut mengenai langkah untuk memudahkan OKU kerana mereka ketika ini sudah mempunyai diskaun tetapi perlu membeli tiket dan menunjukkan kad OKU. Kita akan umumkan perkara itu sebelum 15 Februari depan,” katanya.

Katanya, peruntukan KTMB untuk memberikan tambang percuma kepada pelajar itu datang daripada penangguhan sementara laluan perkhidmatan keretapi komuter KTM yang menghubungkan KL Sentral dan Lapangan Terbang Subang atau SkyPark Link.

Loading...
Terkini