comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pelajar tajaan JPA dibenar tangguh pulang, bekerja di luar negara 

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di luar negara boleh dipertimbang untuk menangguhkan kepulangan mereka ke Malaysia bagi tujuan bekerja di luar negara tertakluk kepada beberapa ketetapan.

Dalam kenyataan hari ini, JPA memaklumkan, kerajaan bersetuju dengan keputusan berkenaan bagi memberi peluang kepada pelajar terbabit menimba pengalaman dan kemahiran pekerjaan di luar negara sebelum balik berkhidmat di dalam negara.

“Kebenaran bekerja adalah berdasarkan permohonan yang dikemukakan oleh pelajar tahun akhir di peringkat Ijazah Pertama dan tidak diberikan secara automatik dan tempoh penangguhan yang dibenarkan untuk bekerja di luar negara adalah tidak melebihi tiga tahun,” menurut kenyataan itu.

Ketetapan lain termasuk pelajar tajaan pinjaman dikehendaki membayar balik nilai pinjaman secara ansuran bulanan dalam tempoh penangguhan tersebut, selain tempoh bekerja di luar negara akan dikira sebagai Tempoh Ikatan Berkhidmat yang ditetapkan di dalam perjanjian.

“Bagi pelajar tajaan pinjaman, pelarasan bayaran balik nilai pinjaman berdasarkan sektor pekerjaan dalam negara hanya dibenarkan sekali sahaja setelah pelajar pulang ke Malaysia tertakluk kepada syarat yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, JPA berkata, permohonan boleh dibuat mulai 15 Februari ini melalui laman sesawang https://myself.jpa.gov.my.

Sebarang maklumat lanjut boleh dirujuk kepada Soalan Lazim atau maklumat perhubungan yang disediakan di laman sesawang tersebut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini