Tumpuan :
Nasional

Pelajar tinggal di Golok sudah mula guna ICQS

Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang

RANTAU PANJANG: Suasana di pangkalan haram Sungai Golok, di sini, lengang dan sepi selepas larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram berkuat kuasa bermula 1 Disember lalu.

Situasi itu jauh berbeza sebelum ini apabila beberapa pangkalan haram meriah dengan pergerakan pelajar menggunakan bot yang tinggal Golok, Thailand namun bersekolah di Rantau Panjang.

Tinjauan bermula jam 6.45 pagi hingga 7.30 pagi di beberapa pangkalan haram yang menjadi laluan pelajar sebelum ini mendapati tiada sebarang pergerakan berlaku.

Kebanyakan pelajar menggunakan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) selain ada di kalangan mereka tinggal di asrama.

Seawal jam 7 pagi sebaik ICQS dibuka, kelihatan pelajar mula masuk dengan ada yang berjalan kaki selain yang menunggang motosikal bersama rakan.

Turut kelihatan bapa mengiringi anak mereka dengan berjalan kaki dan ada juga pelajar datang ke ICQS di sebelah Rantau Panjang dengan berjalan kaki sebelum bapa saudara yang tinggal di sini mengambilnya untuk dihantar ke sekolah memandangkan lokasi yang agak jauh.

Ada juga pelajar sekolah menengah menggunakan motosikal tambang dengan caj yang dikenakan hanya RM2 untuk pelajar sekolah.

Pelajar Tingkatan Lima yang dikenali sebagai Aira berkata, sejak 1 Disember lalu dia sudah mula menggunakan ICQS untuk ke sekolah.

Tinjauan seawal jam 7 pagi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) rantau panjang, dibuka, kelihatan pelajar mula masuk dengan menunggang motosikal bersama rakan. – FOTO: NSTP

Katanya, sebelum ini dia pernah tinggal di asrama namun hanya seketika sebelum kembali berulang alik kerana lebih selesa belajar di rumah.

“Sebelum ini memang kami naik bot ke sekolah namun sejak 1 Disember semua pelajar sudah melalui ICQS. Ada juga yang tinggal di asrama.

“Boleh dikatakan sudah tiada pelajar yang berani menggunakan bot selepas polis memaklumkan akan menangkap sesiapa sahaja yang menggunakan pangkalan haram,” katanya.

Semalam media melaporkan, empat individu masing-masing dua lelaki tempatan dan dua warga Thailand menjadi tangkapan pertama selepas larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram berkuat kuasa 1 Disember lalu.

Suspek berusia 33 hingga 50 tahun ditahan jam 12 tengah malam Sabtu lalu di dua lokasi berasingan selepas dikesan menggunakan pangkalan haram di Rantau Panjang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, ketika mengesahkan perkara itu berkata, dua lelaki tempatan itu disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini