comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar tingkatan 3 galas tanggungjawab ketua keluarga 

Foto: NSTP

ALOR SETAR: Rutin harian seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 5, Gurun Aiman Ikhwan Arman, setiap hari ialah menguruskan ibunya, Mazliana Jamaluddin, 39, yang terlantar sakit akibat ketumbuhan di kepala sebelum keluar ke sekolah.

Aiman Ikhwan 15, terpaksa berbuat demikian memandangkan bapanya, Arman Othman, 49, yang menghidap angin ahmar tidak mampu melakukan kerja berat.

Manakala abang sulungnya, Aiman Irfan, 20, pula orang kurang upaya (OKU) sejak kecil.

Aiman Ikhwan yang juga anak kedua dari tiga beradik adalah pelajar tingkatan tiga, berkata, setiap pagi selepas solat Subuh, dia akan lap badan ibunya sebelum menukar lampin pakai buang serta menyuap minuman susu formula khas untuk ibunya sebelum ke sekolah.

Katanya, dia dan adik bongsu, Aina Najwa, 10 tahun menaiki van ke sekolah tetapi mereka bersyukur kerana pemilik van itu tidak pernah mengambil tambang.

“Ibu saudara yang tinggal berhampiran kawasan rumah kami di Taman Ria Mesra di Gurun akan datang melihat keadaan emak sehinggalah saya pulang dari sekolah.

“Sebelum ini emak sering mengadu sakit kepala dan disangka hanya mengalami migrain namun sejak tiga tahun lalu, keadaannya semakin teruk hingga diserang sawan selain matanya juling dan kabur,” katanya.

Menurut Aiman Ikhwan, selepas ujian pemeriksaan Imbasan Pengimejan Resonas Magnetik (MRI), doktor mengesahkan ibunya menghidap ketumbuhan di kepala dan perlu menjalani pembedahan.

“Ibu menolaknya kerana tiada siapa yang akan menjaga kami disebabkan bapa yang bekerja di sebuah kilang baja diserang angin ahmar hinggakan tidak berdaya untuk bekerja.

“Ayah tidak lagi seperti dulu namun bersyukur dia masih boleh mengurus diri walau hanya dalam rumah.

“Saya terpaksa ponteng sekolah apabila emak dimasukkan ke wad atau keadaan kesihatannya tidak menentu dan pihak sekolah sudah tahu perkara itu,” katanya.

Menurutnya lagi, ibunya dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sejak Selasa lalu berikutan kesihatannya merosot.

“Sekarang ini saya masih di wad HSB menguruskan emak. Lepas ini, ibu saudara pula supaya saya boleh pergi sekolah.

“Saya bersyukur ada ibu saudara banyak membantu.

“Mujur juga ada wang dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang ayah dapat setiap bulan serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Wang itu digunakan untuk bayar sewa rumah, bil ratawan serta susu formula khas yang mahal,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun bank 152125122863 (Maybank) Mazliana Jamaluddin.

Loading...
Terkini