comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar tingkatan lima maut motosikal berlanggar di Lebuhraya Guthrie

Adi Abd Latif, 18 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan selepas tercampak ke tengah besi penghadang jalan di Lebuhraya Guthrie, Shah Alam, awal pagi tadi. FOTO: Ihsan PDRM

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar lelaki tingkatan lima maut dalam kemalangan, selepas motosikal ditunggangnya dipercayai berlanggar dengan beberapa motosikal lain di Kilometer (KM) 7.8 Lebuhraya Guthrie arah ke Shah Alam, awal pagi tadi.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 4 pagi dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan, selepas tercampak ke tengah besi penghadang jalan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar, berkata siasatan awal mendapati, terdapat tiga lagi penunggang motosikal dipercayai terbabit dalam kemalangan itu.

Kejadian berlaku di laluan berselekoh menaiki bukit dan kesemua empat motosikal itu dipercayai hilang kawalan dan berlanggar sesama sendiri.

FOTO: Ihsan PDRM

“Akibat pelanggaran itu, mangsa yang menunggang Yamaha 15ZR tercampak ke tengah penghadang besi jalan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Penunggang motosikal yang lain bertindak melarikan diri dan kini mereka sedang dikesan. Di lokasi kejadian terdapat banyak komponen kenderaan yang pecah dan bersepah di atas atas jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shafa’aton berkata mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Adi Abd Latif, berasal dari Puchong, Selangor.

“Tiga lagi motosikal yang terbabit dalam kemalangan itu dipercayai jenis dua jenis Yamaha LC dan satu Yamaha Y15ZR, namun identiti penunggangnya belum dapat dikenal pasti.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kita mohon saksi untuk tampil membantu siasatan polis,” katanya.

Pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Hasanal Hasif Johari di talian 019-2264650.

Loading...
Terkini