comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar UMT maut, tiga rakan parah kemalangan di LPT2

FOTO: NSTP

CHUKAI: Seorang pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) maut manakala tiga rakannya parah selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 312.4 Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2), dekat Kijal, petang semalam.Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang, Muhamad Fathol Harris Muhamad Asri ,21, berasal dari Sungai Semambu Bagan Serai, Perak maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, tiga rakan mangsa yang parah ialah pemandu kereta, Ignatius Suren Santhanasamy, 21, berasal dari Bagan Serai Perak, Noramirah Syahirah Abdullah, 21, Hulu Langat Selangor, dan Nur Farah Shakirah Mohd Hishamudin,23, dari Dungun, Terengganu.

“Dua lagi rakan mangsa Nur Mazni Andri, 21, berasal dari Jalan Kelang Lama, Kuala Lumpur dan Azira Adriana Natasha Amirul Faris, 21, berasal dari Batu Kurau, Perak hanya cedera ringan.

“Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Hanyan berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta jenis Produa Alza dipandu Ignatius Suren dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik menyebabkan kesemua mangsa tercampak keluar dari kenderaan dinaiki itu.

“Ketika kejadian, empat pelajar Sarjana Muda Fakulti Kaunseling dan seorang dari Fakulti Maritim dalam perjalanan dari arah Kuantan untuk pulang ke Kampus UMT.

“Kesemua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang selepas selesai menyertai kerja kursus di Rumah Perlindungan Jagaan dan Rawatan Casa Femina, Taman Tok Sira Kuantan,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Bilik Forensik hospital Kemaman untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini