KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Gong Badak di sini giat memindahkan pelajar ke asrama selepas rumah sewa mereka dinaiki air.
Naib Canselor UniSZA, Prof Dato’ Dr Fadzli Adam berkata, petugas banjir UniSZA bertindak pantas membawa pelajar terbabit ke asrama selepas kediaman mereka dimasuki air.
Menurutnya, proses pemindahan pelajar berjalan lancar dan segala bentuk bantuan juga sudah digerakkan.
“Setakat ini, petugas banjir UniSZA membawa 49 pelajar yang menyewa di sekitar Kuala Nerus ke asrama pelajar kampus di Gong Badak.
“Kesemua pelajar terbabit dengan rumah sewa mereka dinaiki air dan mereka menghubungi Task Force UniSZA untuk bantuan pemindahan dan kita sentiasa bersedia untuk membantu dan menjaga keselamatan pelajar”, katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, pasukan petugas banjir UniSZA juga sedang giat menjalankan misi bantuan menghantar bantuan makanan serta kemudahan pengakutan bagi warga UniSZA yang terjejas.
Untuk sebarang urusan berkaitan hal ehwal banjir, sila hubungi Bilik Gerakan Jabatan Keselamatan mengikut kampus di Talian 24Jam iaitu Kampus Gong Badak (09 668 7750) dan Kampus Besut (096993222 – Pos Pengawal) dan (01158883389 – Bilik Gerakan).