Tumpuan :
Nasional

Pelakon Johan Abdullah meninggal dunia

SEREMBAN: Pelakon yang sering memegang watak sebagai lelaki Inggeris dalam filem dan drama tempatan, Johan Abdullah, 75, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini, malam tadi.

Isterinya, Sarepah Meriam Aboo, 51, ketika dihubungi berkata Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 7.20 malam akibat jangkitan kuman dalam darah.

“Dalam seminggu ini, arwah tidak mahu makan dan hanya minum susu menyebabkan badannya semakin lemah.

“Kira-kira jam 12 tengah hari tadi, arwah masih boleh duduk tetapi sekitar jam 3 petang, tiba-tiba nafasnya mula tercungap-cungap,” katanya.

Beliau berkata, suaminya kemudian dibawa ke hospital selepas jirannya menghubungi ambulans.

“Selepas kira-kira 40 minit dirawat di zon kecemasan, suami diberi bantuan pernafasan dan doktor memaklumkan ada jangkitan kuman dalam darah,” katanya.

Beliau berkata, Allahyarham sepatutnya menjalani rawatan susulan bagi masalah radang usus pada Rabu depan.

“Arwah sebenarnya menghidap pelbagai penyakit, iaitu angin ahmar, parkinson, jantung, radang usus dan otak mengecut,” katanya.

Sarepah Meriam berkata, jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ainsdale, di sini, kira-kira jam 11.30 pagi ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini