Tumpuan :
Nasional

Pelakon remaja tertekan, dakwa jadi mangsa amang seksual jurusolek lelaki

MELAKA: Seorang pelakon remaja lelaki mendakwa menjadi mangsa amang seksual fizikal oleh seorang jurusolek lelaki ketika menerima perkhidmatan urutan badan di sebuah salon rambut di Ayer Keroh, Jumaat lalu.

Suspek, seorang jurusolek berusia 41 tahun, kini direman selama tujuh hari sehingga 26 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 3 petang Jumaat lalu, apabila mangsa yang berusia 18 tahun mengunjungi salon milik suspek atas tawaran perkhidmatan mendandan rambut secara percuma.

“Selepas selesai mendandan rambut, suspek menawarkan perkhidmatan tambahan berupa urutan badan, yang diterima oleh pengadu kerana sudah lama mengenali suspek.

“Ketika mengurut bahagian paha pengadu, suspek didakwa membuka seluar dalam dan melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa sambil memegang pahanya dengan kuat.

“Pengadu yang terkejut terus meninggalkan salon sejurus urutan selesai dan kemudian membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh keesokan harinya,” katanya dalam kenyataan.

Susulan laporan itu, sepasukan anggota dari Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menahan suspek di hadapan premis berkenaan di Taman Tasek Utama, Ayer Keroh, pada kira-kira jam 4.30 petang semalam.

Mangsa, yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik, bekerja sambilan sebagai pelakon kebudayaan di ibu negara dan juga pelajar tahun pertama di sebuah kolej kemahiran di Bangi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini