HOME / Nasional

Pelaksanaan Potongan Cukai 2% Terhadap Pembayaran Oleh Syarikat Pembayar Kepada Ejen, Pengedar Atau Pengagih Di Bawah Bajet 2022

Kerajaan melalui Pembentangan Bajet 2022 telah memperkenalkan seksyen 107D, Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2022. Melalui pengenalan seksyen baharu ini, setiap syarikat pembayar perlu membuat potongan cukai dua peratus (2%) dan meremitkan amaun potongan tersebut kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN) atas setiap bayaran tunai yang dibuat kepada ejen, pengedar atau pengagihnya.

Perincian pelaksanaaan potongan ini adalah seperti ketetapan yang berikut :

a) Ejen, pengedar atau pengagih hendaklah merupakan individu pemastautin.

b) Kelayakan dalam memastikan ejen, pengedar atau pengagih itu layak dibuat potongan dalam tahun 2022 adalah berdasarkan nilai ambang RM100,000 penerimaan bayaran (tunai dan bukan tunai) pada tahun sebelumnya (tahun 2021).

c) Amaun potongan 2% berkenaan hendaklah diremitkan kepada KPHDN dalam tempoh 30 hari selepas pembayaran dibuat.

d) Kegagalan syarikat pembayar meremitkan amaun potongan 2% tersebut dalam tempoh yang ditetapkan akan menyebabkan syarikat pembayar perlu membayar amaun diremit berserta 10% kenaikan.

e) Sekiranya syarikat pembayar gagal untuk membuat potongan dan meremitkan amaun 2% tersebut kepada KPHDN, tuntutan perbelanjaaan berkaitan tidak boleh dibenarkan di bawah perenggan 39(1)(s) ACP 1967.

Penangguhan pelaksanaan peremitan potongan cukai di bawah seksyen 107D Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bagi memastikan semua syarikat pembayar dapat membuat persediaan dan pemakluman yang sewajarnya dapat diberikan kepada semua ejen, pengedar atau pengagihnya, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan peremitan potongan cukai di bawah  seksyen 107D ACP 1967 ini sehingga 31 Mac 2022.

Sehubungan dengan itu, syarikat pembayar dibenarkan untuk meremitkan potongan cukai 2% atas bayaran berbentuk tunai yang dibayar kepada ejen, pengedar atau pengagih bagi bulan Januari sehingga Mac 2022 mulai 1 April 2022 tanpa dikenakan apa-apa kenaikan.

Bagi memudahkan pemahaman yang lebih jelas, HASiL akan mengeluarkan Soalan Lazim berkaitan perkara ini yang boleh diakses melalui portal rasmi www.hasil.gov.my .

Sebarang pertanyaan berkaitan boleh diajukan kepada HASiL melalui:

a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);

b) HASiL Live Chat; dan

c) Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas

https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.

Dikeluarkan Oleh:

Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Tarikh: 12 Januari 2022

Sumber: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Tel: 03-8751 1000 

Hasil Care Line : 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara)

Portal Rasmi : www.hasil.gov.my