comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelan Hala Tuju RDICE, sumbang RM9.21 trilion KDNK menjelang 2030

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pelan Hala Tuju Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi Negara (RDICE) akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun ini sehingga 2030.

 

Ia dijangka menyumbang RM9.21 trilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara menjelang tahun 2030.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan memaklumkan, pelan yang mengandungi tiga teras, enam strategi dan 20 pelan tindakan itu diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, di sini hari ini.

“Strategi Pelan Hala Tuju RDICE bakal memanfaatkan rangkaian hab inovasi global, menggalakkan penggunaan indeks pengukuran tahap teknologi, pengenalan konsep ‘Return on Value’ (ROV), memprofilkan institusi penyelidikan dan mengiktiraf kepentingan ‘Technology Transfer Officer’ (TTO),” menurut kenyataan itu.

Selain itu, mesyuarat NSC bersetuju supaya semua pihak berkepentingan perlu berkongsi data dan maklumat berkaitan penyelidikan dan pembangunan masing-masing untuk diselaraskan dalam satu platform ekosistem induk penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara.

Ia bagi memaksimumkan potensi R&D dan pengkomersialan negara.

Pada masa sama, NSC juga bersetuju dengan konsep Pemerkasaan Ekonomi Biru untuk mewujudkan kemampanan ekonomi lautan yang terhasil melalui keseimbangan aktiviti ekonomi dengan kapasiti ekosistem lautan yang berdaya tahan dan sejahtera.

“Ekonomi Biru yang lestari dan berinovasi mampu menjana pulangan nilai daripada sektor marin dan maritim negara dengan potensi peningkatan sumbangan sumber marin dan lautan kepada KDNK negara daripada 21.3 peratus kepada 31.5 peratus pada tahun 2030, dengan penglibatan 13 kementerian dan agensi kerajaan berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, MOSTI berkata, mesyuarat bersetuju supaya penyelarasan secara bersepadu diterajui Kementerian Ekonomi agar dapat meneruskan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk Kerajaan Negeri.

NSC turut mengambil maklum mengenai kepentingan Malaysia untuk membangunkan teknologi dan kepakaran tempatan bagi mewujudkan Ekosistem Industri Bahan Termaju Unsur Nadir Bumi (REE) yang mampu menyumbang sebanyak RM9.5 bilion kepada KDNK.

Sementara itu, pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) telah membangunkan Manual Penjanaan Perjalanan Malaysia 2020 (MyTripGen 2020) sebagai dokumen rujukan pengamal kejuruteraan trafik dalam membuat unjuran penjanaan trafik, berdasarkan cadangan pembangunan guna tanah baharu atau tambahan di sesuatu kawasan.

Dalam kenyataan sama, menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, mesyuarat NSC kali ini memberi penekanan kepada pembangunan bakat sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri seiring fokus negara ke arah penerokaan dan pembangunan industri ‘high growth high value’ (HGHV).

Tambah beliau, NSC mencerminkan usaha bersepadu kerajaan Malaysia MADANI melalui kerjasama pelbagai kementerian dan agensi atau ‘whole of government approach’ bagi menangani cabaran semasa dengan lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat.

“MOSTI akan terus memperkukuh NSC sebagai platform bagi menetapkan hala tuju dan dasar sains, teknologi dan inovasi (STI) negara melalui penglibatan kerajaan, industri dan akademia dalam strategi pembangunan negara, di samping mengenal pasti bidang STI yang berpotensi untuk diteroka bagi pelaburan berimpak tinggi,” menurut kenyataan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini