comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelan Tindakan Banjir Shah Alam sudah bermula

Izham (empat dari kanan) ketika Majlis Pecah Tanah SASUD di Taman Sri Muda Seksyen 25, Shah Alam. – FOTO: NSTP

SHAH ALAM: Pelan Tindakan Banjir Shah Alam atau Shah Alam Sustainable Urban Drainage Master Plan (SASUD) yang diperkenalkan selepas bencana banjir di negeri ini penghujung tahun lalu, kini bermula dengan fasa pertama.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian negeri Izham Hashim berkata, projek SASUD fasa pertama itu membabitkan pembinaan rumah pam di Jalan Saksama 25/39 dan Jalan Khidmat 25/35 serta kerja berkaitan infrastruktur di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini.

“Sementara itu (sebelum pasang pam) kita akan membetulkan struktur dan longkang untuk menempatkan pam ini, kemudian pam boleh dipasang, dijangka enam bulan hingga setahun akan siap.

“Kita beri jaminan, akan cuba meminimumkan sebaik mungkin tetapi bukan 100 peratus tidak banjir. Jika (berlaku), kita akan usaha lagi cari kaedah berterusan untuk pastikan tempat ini selamat dari kemusnahan akibat banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Bagi SASUD di sini petang semalam.

Beliau berkata, pelaksanaan SASUD bertujuan menaik taraf sistem perparitan utama perbandaran ke arah reka bentuk minimum 50 tahun Average Recurrence Interval (ARI) juga menaik taraf kolam takungan yang mampu berfungsi apabila banjir luar biasa.

“Selain itu, ia juga bagi menambah struktur penyokong air larian permukaan seperti parit erong, menyediakan tebatan banjir yang boleh menyokong sistem tebatan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor.

“Juga membina sistem ramalan dan pemantauan banjir perbandaran secara bersepadu berkonsepkan Artificial Intelligence (AI),” katanya.

Mengulas lanjut katanya, pelaksanaan awal SASUD merangkumi 30 projek bagi fasa satu dan 19 projek bagi fasa dua.

“Pelan pelaksanaan projek ini dibahagikan kepada tujuh lembangan iaitu lembangan Sungai Kandis, lembangan Sungai Rasah, lembangan Sungai Renggam, lembangan Sungai Binjai/Sungai Puloh, lembangan Sungai Buloh, lembangan Sungai Air Kuning/Sungai Damansara dan lembangan Sungai Rasau,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini