comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelan Tindakan Kebangsaan untuk Buruh Paksa (NAPFL) bagi industri sawit negara jadi rujukan kepada transformasi industri lain

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof, beramah mesra bersama peserta ketika merasmikan The People Positive Palm Project (Project P3) di Kuala Lumpur, hari ini. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Penjajaran di antara perusahaan dan kerajaan penting bagi memastikan tanggungjawab kerajaan untuk melindungi hak asasi manusia dan tanggungjawab perusahaan untuk menghormati, menyokong dan berdaya saing antara satu sama lain terlaksana.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan akan teruskan usaha sama dalam pengajian, latihan dan pembangunan polisi positif insan (P3) serta dasar tindakan bagi memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan.

“Kerajaan akan teruskan usaha sama dengan institusi seperti Persatuan Buruh Antarabangsa (ILO), Persatuan Migran Antarabangsa (IOM) dan Program Pembangunan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) untuk memastikan tidak ada sesiapa pun yang ketinggalan termasuk pekebun kecil,” katanya ketika merasmikan forum P3 di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan turut mengusahakan Pelan Tindakan Kebangsaan untuk Buruh Paksa (NAPFL) bagi membantu industri sawit negara menjadi rujukan kepada transformasi industri lain.

Ditanya langkah yang diambil kerajaan untuk menangani amalan tempatan yang membabitkan kanak-kanak dalam perusahaan ladang, Fadillah berkata, kerajaan perlu memperjelaskan kepada masyarakat antarabangsa mengenai amalan dan budaya tempatan.

“Mengimbangi amalan tempatan dengan standard antarabangsa adalah satu langkah yang penting, kita mahu masyarakat antarabangsa memahami adat budaya serta amalan rakyat tempatan tetapi pada masa yang sama, kita mahu mematuhi standard antarabangsa.

“Kita mahu memasarkan produk (minyak sawit) kita ke luar negara, oleh itu ada keperluan untuk mematuhi standard antarabangsa,” katanya kepada media.

Mengenai keperluan pekerja asing dalam sektor perladangan, Fadillah berkata, di Kementerian Perladangan dan Komoditi, permohonan telah diluluskan namun hanya 80 peratus kuota dipenuhi.

“Ada beberapa perkara seperti syarat tempatan contohnya di Sarawak, kerajaan negeri tidak membenarkan pekerja ladang dari Bangladesh, jadi kita sedang usahakan mengisi kekosongan dengan pekerja dari negara lain termasuk Indonesia,” katanya.

Ditanya bila isu pekerja asing industri perladangan dapat diselesaikan sepenuhnya, Fadillah berkata, perkara itu tertakluk kepada negara sumber pekerja kerana kerajaan Malaysia tidak boleh menentukan syarat negara sumber.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini