comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 Dibangunkan

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) bersetuju untuk membangunkan Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 (MDTAP30).

Pelan tindakan itu bagi menyokong ekosistem dron dan menjadikan MDTAP30 sebagai agenda nasional.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) sebagai agensi penyelaras dan sekretariat MDTAP30 akan melaporkan kemajuan kepada ahli Majlis melalui Kluster Teknologi Baru Muncul.

“Sistem Pengurusan Trafik Pesawat Tanpa Pemandu (UAS-TM) juga akan dibangunkan bagi meningkatkan Kecekapan Proses Pendaftaran Operator Dron untuk meningkatkan pendaftaran pesawat tanpa pemandu (UAS) menjelang tahun 2030.

“Mesyuarat juga mengambil maklum akan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh pemain industri seperti kerenah birokrasi yang akan diteliti bagi mengembangkan industri dron negara,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat kedua MED4IRN, hari ini.

Mesyuarat turut dihadiri menteri-menteri, ketua-ketua jabatan dan agensi terlibat.

Jelasnya, industri dron di negara ini berpotensi menjana pertumbuhan sebanyak RM50.71 billion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan berupaya mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, mesyuarat bersetuju melaksanakan strategi berkaitan pembangunan Omnibus Act – Public Sector (Data Sharing) Act melalui Dasar Perkongsian Data Sektor Awam (DPDSA) dan Dasar Perkongsian Data Nasional (National Data Sharing Policy – NDSP) bagi meningkatkan ekosistem perkongsian data negara yang lebih kondusif.

Di samping itu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan terus diperkasakan melalui pendigitalan dan satu rangka kerja yang berintegrasi.

“Satu mekanisme Penyelesaian Pertikaian Dalam Talian (Online Dispute Resolution – ODR) diwujudkan bagi mengadili dan menyelesaikan tuntutan kecil dan meningkatkan aktiviti
e-dagang merentas sempadan.

“Penubuhan pusat sehenti (one-stop centre) juga akan mempermudahkan akses program sokongan pendigitalan kepada PKS.

“Selain itu, status pekerja ekonomi gig juga akan sentiasa dipantau untuk memastikan golongan ini mempunyai jaminan dari segi kewangan dan perlindungan undang-undang yang mencukupi,” katanya.

Kerajaan juga ujarakan memperkukuhkan kerjasama dengan Microsoft Malaysia dalam bidang keselamatan siber dan kes penipuan dalam talian bagi menyokong visi pembangunan digital negara.

Program yang akan dilaksanakan secara menyeluruh kepada seluruh Keluarga Malaysia termasuk forum kesedaran, bengkel kemahiran dan latihan teknikal bagi sektor awam serta swasta.

“(Mesyuarat bersetuju) menubuhkan Jawatankuasa Ekonomi Perkongsian (Sharing Economy Committee) yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“(Jawatankuasa itu) bagi menyelaras inisiatif dan program berkaitan Ekonomi Perkongsian di peringkat nasional melibatkan sektor awam, swasta, komuniti dan akademik,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri memaklumkan, Digital Nasional Berhad (DNB) menyasarkan capaian liputan 5G di Malaysia mencapai 40 peratus menjelang akhir tahun 2022 dan sebanyak 80 peratus di kawasan berpenduduk menjelang tahun 2024.

Capaian rangkaian 5G kini telah mencapai lebih daripada 30 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Sehubungan itu, kerajaan berharap program pendigitalan yang telah dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi akan terus dipertingkatkan dalam usaha mengekalkan momentum pendigitalan sedia ada seterusnya memacu agenda pendigitalan negara.

Loading...
Terkini