comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelancong asing diberi kelonggaran isi Kad Ketibaan Digital Malaysia hingga 31 Disember

SEPANG: Pelancong warga asing yang masuk ke negara ini diberi kelonggaran untuk mengisi Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) sehingga 31 Disember ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, meskipun mereka sepatutnya mengisi MDAC tersebut dua atau tiga hari sebelum tiba ke Malaysia namun kelonggaran itu diberikan ekoran ia masih baru dilaksanakan.

Menurutnya, bagaimanapun mengisi MDAC menjadi satu kewajiban yang perlu dibuat oleh semua pelancong selepas 1 Januari tahun depan.

Katanya, maklumat dalam kad ketibaan digital ini membantu memberi maklumat penting keberadaan mereka sepanjang berada di negara ini.

“Ini adalah langkah penting untuk kita mengetahui tentang keberadaan mereka sepanjang berada di sini, namun pada masa yang sama ia penting untuk kita juga,” katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan proses Pelan Liberalisasi Visa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Turut hadir pada sesi tinjauan itu Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh.

Pengecualian visa selama 30 hari untuk pelancong dari China dan India meliputi tempoh dari 1 Dis 2023 hingga 31 Dis 2024, seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 November lalu.

Pada masa ini, negara teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iraq dan Iran, serta semua negara Asia Barat, termasuk Turki dan Jordan, menikmati kemudahan pengecualian visa.

Terdahulu,beliau membuat tinjauan pembukaan 14 kaunter baharu sebagai penambahan kaunter Imigresen bagi pemeriksaan pasport.

Dengan penambahan itu ia menjadikan jumlah keseluruhan kaunter pemeriksaan imigresen menjadi 60 buah dan beroperasi 24 jam.

Saifuddin berkata, penggunaan sistem baharu MDAC ini bertujuan bagi melonjakkan sektor pelancongan supaya tidak dirumitkan melalui proses visa,namun perkara ini sudah lama diamalkan di kebanyakan negara termasuk Singapura.

Menurutnya, penggunaannya adalah selaras dengan pelaksanaan pelan liberalisasi visa yang menjadi permulaan kepada program Tahun Melawat Malaysia 2026.

Katanya, pelan liberalisasi visa diadakan ini bertujuan meningkatkan sektor pelancongan di mana pelancong yang datang tidak akan berdepan kerumitan melalui proses visa.

“Pelaksanaan MDAC pula menjadi elemen kawalan berguna bagi kami untuk mengetahui pergerakan mereka dan merupakan sebahagian daripada lima inisiatif utama untuk menambah baik perkhidmatan Jabatan Imigresen,”katanya.

Loading...
Terkini