BENTONG: Dua warga China menempuh detik cemas apabila cuba ditarik masuk ke dalam sebuah kereta jenis BMW oleh empat lelaki tidak dikenali di Pekan Gohtong Jaya, di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan awal berhubung kejadian itu daripada orang awam kira-kira 7.40 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku 6.30 petang membabitkan dua pelancong warga China iaitu seorang wanita berusia 27 dan lelaki 26 tahun.
“Kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang berjalan di Pekan Gohtong didatangi empat lelaki tidak dikenali.
“Secara tiba-tiba suspek menarik kedua-dua mangsa ke dalam kenderaan lalu berlaku pergelutan antara mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaiham berkata, ketika bergelut mangsa wanita berjaya melarikan diri namun mangsa lelaki dilarikan oleh suspek terbabit.
Katanya, mangsa kemudian ditinggalkan di tepi jalan selepas suspek mengambil sejumlah wang tunai dan membuat pemindahan wang secara dalam talian ke dalam satu akaun dipercayai milik suspek.
Menurutnya, ketika ditemui, mangsa mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.
“Pihak polis sedang giat memburu suspek yang terbabit dalam kes ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365/394 Kanun Keseksaan.
“Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di taliam 09-2222222,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.